Perintis Blog hobi Gundam/ Gunpla berbahasa Melayu. Memartabat minat dan kreativiti individu ke tahap antarabangsa. Warisi minat dan kemahiran Gunpla kepada dunia.

Saturday, July 31, 2010

RX78 2 vs Optimus Prime

Tanggal 24 Julai 2010 seperti yang kita semua sedia maklum  model saiz sebenar RX78-2 versi ke-2 secara rasminya dilancarkan untuk tatapan umum di Shizuoka Park, Jepun. Replika Gundam setinggi  59 kaki (18 meter) ini dibina bersempena sambutan 30 tahun Gundam. Berbanding dengan model RX78 2 di Odaiba pada tahun 2009, versi ke-2 ini dilengkapi 'pedang laser' dan dibina dihadapan muzium sementara bagi memperingati 50 tahun perkembangan industri model plastik Jepun yang tertumpu di bandar Shizuoka. RX78 2 versi ke-2 tampak lebih terperinci dan kukuh dengan aura 'pelindung keamanan sejagat'. Ia akan dipertontonkan kepada umum sehingga 27 Mac 2011. 

Sementara itu tidak jauh daripada Jepun sebuah negara yang sedang melonjak naik iaitu China dalam diam-diam sedang melaksanakan projek robot rahsia. Tanpa sebarang publisiti tiba-tiba pada 15 Julai 2010 telah telebih dahulu melancarkan model saiz sebenar Optimus Prime daripada siri Transformer!. Ia dibina di Green Dream Park Beijing oleh pejuang pemelihara alam sekitar. Fakta yang lebih mengagumkan adalah Optimus Prime tersebut dibina hasil cantuman  bahan kitar semula seberat 6 tan yang terdiri daripada kereta, lori dan jentolak terpakai. Dengan ketinggian lebih kurang 40 kaki (12 meter), Optimus Prime tersebut kelihatan lebih lasak dan ganas. Ia tampak seolah-olah wira yang baru pulang daripada pertempuran besar setelah mengalahkan beribu-ribu musuh. 

Walupun Optimus Prime tampak lebih kecil berbanding RX78-2 namun mesej yang ingin disampaikan oleh Optimus Prime adalah lebih universal iaitu kepentingan 'kitar semula' kepada dunia. RX78-2 pula membawa mesej yang tidak kurang hebatnya iaitu pencapaian manusia dalam memajukan teknologi keamanan. 

Bagi Awanz maksud tersirat daripada pembinaan kedua-dua replika robot ini adalah kuasa besar dunia akan sentiasa bersaing bagi membuktikan kehebatan masing-masing. Semoga persaingan yang ditunjuk oleh Jepun dan China ini akan kekal bersifat membangun. Moga persaingan antara Zeon dengan Earth Federation tidak akan menjadi realiti di dunia ini.            

Pelawak Gundam

Gundam memang tidak putus-putus bertempur sejak zaman berzaman. Masalah dunia tidak pernah susut dan sentiasa perlu ditangani oleh Gundam. Sebenarnya ada masanya setelah penat berjuang, Gundam berehat dan bersantai bagi menenangkan fikiran. Umum sedia maklum penawar kepada keletihan dan tension adalah;Ketawa! Hahaha. Gundam juga ada masanya bergurau senda dan menjadi pelawak. Cuma ia tidak didedahkan kepada umum.
 
Oleh itu Awanz dengan ini secara eksklusif menghimpunkan saat-saat lucu aksi Gundam. Saat lucu Pelawak Gundam yang dilarang daripada ditayangkan didalam mana-mana siri animasi Gundam. 
 
Kena lawan Rocky @ Rambo?
"Alamak! tersalah pakai kostume plak hari ni"




"Nasib badan... siapa suruh aku jadi sukarelawan tadika hu hu"





 "Don't hate me because I'm BEAUTIFULL"
"Siapa suruh aku kalahkan semua orang jahat... sekarang dah tak ada kerja. Jadi posmen lah plak"




"Mana penasihat diet aku ni! Rosak struktur badan aku sebab terlebih protein kat bahu"
 

Friday, July 30, 2010

Kolaborasi Gundam & Korporat

Bandai tidak pernah ketandusan idea untuk mempromosikan produk Gundam. Modus operandi Bandai adalah mengeluarkan edisi terhad Gunpla model RX78 2 dengan skema warna, rekabentuk  dan pelekat yang bersesuaian dengan badan korporat yang berkolaborasi dengannya. Hasil daripada gimik gabungan ini sangat menarik kerana Gundam kini menjadi 'trademark' kepada sesuatu badan korporat tersebut untuk jangkamasa tertentu. 


RX78 2 ver. ANA
Antara badan korporat yang pernah bergabung dengan Bandai adalah All Nippon Airways (ANA), Seven Eleven dan PEPSI. Model aksi badan korporat tersebut adalah koleksi terhad yang sangat berharga kerana ia hanya boleh didapati dalam tempoh promosi tertentu sahaja. Gimik promosi Bandai adalah antara penyebab Gundam akan tetap relevan pada masa hadapan. 


Resipi Rahsia Kilang Bandai

Kilang tunggal Bandai
30 tahun berlalu sejak Bandai mula-mula memperkenalkan model plastik Gundam. Bermula daripada sekadar cenderamata animasi kini model plastik Gundam telah berkembang pesat menjadi satu industri.  Bandai memegang hak mutlak bagi pembuatan model plastik ini. Resipi pembuatan model plastik Gundam masih menjadi rahsia. Bandai boleh berbangga kerana sehingga kini model plastik Gundam merupakan 100% produk keluaran Jepun sepenuhnya!
 
 
Setiap model plastik Gundam diseluruh pelusuk dunia berasal daripada sumber yang satu. Bandai memfokuskan proses pembuatan model ini di kilang tunggalnya yang dikenali sebagai 'Bandai Hobby Center'. Kilang yang terletak di Shizuoka ini tidak dibuka kepada orang awam langsung dan tidak boleh dilawati sewenang-wenangnya. Ini kerana Bandai menganggap ia sebagai tempat keramat kelahiran setiap model plastik Gundam bagi seluruh dunia. Bandai juga menghadkan kemasukan pelawat ke kilang ini demi memelihara suasana kerja yang memerlukan penelitian 110% pada setiap masa.

Bandai Hobby Center adalah sebuah kilang yang menyimpan segala rahsia penghasilan model plastik Gundam. Ia sangat misteri umpama Area 51 di Amerika. Rekabentuk dalaman kilang ini sangat futuristik seolah-olah anda berada didalam sebuah kapal angkasa. Pekerja kilang lengkap berpakaian seragam Earth Federation manakala peralatan membuat acuan model plastik seolah robot-robot yang berkeliaran dimerata kilang. Dengan 16 buah mesin suntikan acuan model plastik tercanggih kilang ini berupaya mengeluarkan sebanyak 70 ribu petak model plastik sehari.  Setiap mutu model dijaga rapi oleh Bandai.

Polisi Bandai yang sangat berahsia tentang kaedah dan cara penghasilan model plastik ini menjadikan Gundam sebagai produk eksklusif Jepun. Setiap Gunpla yang memiliki sebarang model Gundam asli pasti berasa bangga apabila mengetahui bahawa ia adalah sebahagian daripada keluarga besar Gundam yang melata di muka bumi. 

Tuesday, July 27, 2010

Zaku II vs RX78 2: Gundam Kayu

Obsesi masyarakat Jepun pada Gundam tidak berhenti pada penciptaan Gundam bersaiz sebenar di Odaiba. Mereka terus berlumba untuk menempa nama sebagai perintis Gundam pada medium yang berbeza. Sebenarnya pada 2007 sekumpulan pengukir kayu berbakat Jepun telah dilantik oleh Bandai untuk meghasilkan model terhad RX78 2 daripada kayu. RX78 2 tersebut  yang setiap satunya diukir tangan. Ia dicipta dengan saiz 1:60. Kraftangan bernilai estetik tinggi ini dijual pada harga 50,400 yen (US$420-00).

Namun tidak lengkap rasanya apabila RX78 2 kayu ini dicipta bersendirian tiada berteman. Oleh itu pada 2010 sebuah syarikat pembuat mainan Bullmark telah mengeluarkan edisi terhad Zaku II yang diukir daripada kayu. Ia didatangkan dalam saiz lebih kurang 1 kaki tinggi dan dijual pada harga yang lebih tinggi iaitu 99,790 yen (US$1,069-00).

Zaku II merah menyala
Zaku II diukir dengan kayu merah manakala RX78 2 diukir kayu putih. Kini  2 model ini bertemu buku dengan ruas. RX78 2 bakal bertembung dengan Zaku II dalam perlawanan epik. Lengkapkan senjata dan bersedia untuk berperang.  Cuma Awanz berharap tiada siapa yang akan menggunakan minyak tanah dan mancis hehe.

Katoki Hajime: Genius Rekaan Gundam

Hajime Katoki adalah pakar dalam rekaan mekanikal. Dilahirkan pada 1963 bakat beliau dalam penciptaan model Gundam memang tidak boleh disangkal lagi. Sifat beliau yang menekankan penelitian pada butiran terperinci dan pakar didalam menyeimbangkan pembahagian struktur rekabentuk robot telah menarik minat Bandai. Beliau telah ditugaskan untuk menaik taraf dan memodifikasikan rekabentuk Gundam. 

Sebagai pengiktirafan kepada bakat  beliau pihak Bandai telah mengeluarkan siri model plastik Gundam 'Ver Ka'  @ Versi Katoki khusus bersempena nama Hajime Katoki. Model Ver Ka biasanya dikeluarkan dalam siri Master Grade 1/100 dan ia merujuk kepada produk dimana Katoki adalah pereka, pengarah dan pengeluar model tersebut. Ini bermakna beliau secara peribadi memantau proses pembuatan model tersebut terutama skema warna yang digunapakai. Ringkasnya Ver Ka adalah hasil tangan peribadi oleh beliau. Selain daripada itu Katoki juga aktif didalam rekaan permainan komputer antaranya 'Virtual On' dan filem animasi 'Patlabour 2'.

Rekaan Katoki sinonim dengan sifat tegap dan teguh mecha atau Gundam. Lukisan diorama Katoki memberi gambaran pada dunia bagaimana Gundam seharusnya dilihat menjelma pada bumi. Beliau bijak melahirkan ilustrasi Gundam yang seolah-olah wujud dialam nyata. Menurut beliau dengan mengambarkan Gundam dialam nyata, ia dapat membantu manusia menghayati, memahami dan seterusnya menerima kehadiran Gundam di muka bumi kelak. Berikut adalah antara hasil ilustrasi Hajime Katoki yang realistik bertahap dunia.
RX78 2 diselenggara di lapangan terbang
Memelihara keamanan di pasar air Hong Kong


Jalan di tutup: Kerja menaik taraf sedang dilakukan

Monday, July 26, 2010

Batu Keras 'Hard Rock' Gundam

Obsesi Gundam di Jepun tidak hanya pada model plastik. Walaupun kini Jepun telah mencipta Gundam bersaiz sebenar, namun jauh di satu kawasan bandar kecil bernama Yasu di Jepun satu arca batu Gundam telah diukir dengan teliti dan lengkap. Arca batu setinggi 4 meter dan seberat 10 tan ini diukir pada tahun 2007 dan menjadi tarikan pelancong di bandar kecil Yasu, Jepun. Ia tampak teguh dan kelihatan seolah penjaga keamanan bandar Yasu.

Berbanding dengan model Gundam sebenar di Odaiba yang hanya dapat bertahan untuk pameran bagi tempoh 2 bulan sahaja, arca batu disini kekal sejak tahun 2007 lagi. Tiada siapa yang berhasrat untuk  membeli arca Gundam ini walaupun ia sentiasa ditawarkan untuk dijual. Gundam batu bersempena model Gundam Freedom ini sebenarnya mempunyai kisah yang menyeramkan. Arca ini tidak diberikan harga khusus. Namun kepada sesiapa yang berhasrat untuk memiliki arca ini ketahuilah bahawa ia hanya boleh diletakkan dikawasan kubur. Ini kerana arca ini hanya akan dijual sebagai batu nesan! Pembeli arca Gundam ini mesti mati dahulu sebelum memilikinya!

Sehingga kini tiada seorang pun peminat berani mati (diehard fan) Gundam yang mempunyai keberanian untuk membeli batu nesan ini. Setelah hampir 4 tahun batu nesan Gundam ini tetap setia menanti. tuannya. Adakah anda bersedia untuk menjadi tuannya?

Thursday, July 22, 2010

RX 78-3

Ketika pencerobohan Zeon di Sektor 7 pada 0079 UC, sebenarnya Mobile Suit Zeon telah mengenalpasti pencipataan rahsia 3 model RX78-2 Gundam oleh Earth Federation. Sejurus sebelum serangan oleh Zeon dilakukan Tem Ray iaitu saintis yang membangunkan projek Gundum G sedang dalam proses memindahkan 3 model RX78-2 tersebut daripada Sektor 7 ke dalam kapal induk Earth Federation iaitu White Base.

Tindakan pantas dan serang hendap yang dilakukan oleh Mobile Suit Zeon berjaya menyekat proses pemindahan tersebut. Lebih malang lagi 2 model RX78-2 yang belum berfungsi telah berjaya dihancurkan oleh Zeon. Amuro Ray hanya berjaya mengawal dan menyelamatkan 1 model RX78-2 sahaja. Anda pasti tertanya-tanya apa yang berlaku pada 2 model RX78-2 yang hancur tersebut?

Setelah RX78-2 Amuro Ray berjaya menyekat serangan mobile suit Zeon, Earth Federation telah mengutip saki baki 2 model RX78-2 yang hancur tersebut dan dibawa ke IbuPejabatnya di Jaburo. 2 model hancur tersebut seterusnya digabungkan dan diubahsuai. Ringkasnya model tersebut dipertingkatkan keupayaannya dan dinamakan RX78-3 Gundam atau 'G-3'. Model terbaru ini lebih fleksibel dan lebih mudah untuk dikendalikan kerana sendi-sendinya dicaskan dengan 'elekro-magnetic'. Ia lebih responsif kepada tindakbalas pemandu sebanyak 30%. Rekabentuk RX78-3 sama dengan RX78-2 kecuali pada tona warna yang menggabungkan biru dan kelabu.

RX78-3 sebenarnya hanya model Gundam khusus digunakan didalam makmal bagi menguji kebolehan RX78-2. Amuro Ray hanya menggunakan model ini setelah RX78-2 dimusnahkan oleh Zeon Newtype Lalah Sune. Umurnya RX78-3 tidak panjang kerana ia seterusnya dikalahkan oleh Dom Skuad yang diketuai oleh Char's Rick.        

Wednesday, July 21, 2010

Telefon Bimbit Eksklusif Gundam

Teknologi telefon bimbit berkembang pesat dengan pengenalan pelbagai produk dan fungsi seperti Wi-fi, GPS dan lain-lain. Terbaru adalah fungsi skrin sesentuh i-phone daripada Apple. Namun bagi peminat setia Gundam hanya ada 1 telefon bimbit yang dapat mewartakan pada dunia tentang diri anda. Sempena ulangtahun ke-30 Gundam syarikat telekomunikasi Jepun Softbank memperkenalkan telefon bimbit model 945SH G Ver. GP30.
Sekali imbas telefon bimbit ini kelihatan seperti perisai versi dipertingkat RX78-2. Ia tampak kukuh dan kental dengan warna merah menyala. Didatangkan dalam warna putih dan hitam ia adalah deklarasi teragung pada dunia bahawa anda adalah peminat setia Gundam. Telefon yang dilengkapi kamera 12.1 megapixel, paparan skrin bersaiz 3.4 inci, 'ringtone' dan perisian bertemakan Gundam ia tampak sama seperti telefon bimbit yang lain. Namun ciri menonjol yang  menjadikan  ia sebagai gadjet mesti dimiliki adalah; Pengecas telefon bimbit dihiasi RX78-2 bersaiz 1/100!
RX78-2: Penjaga dan Pengecas Telefon
Gabungan Gundam dan Softbank jelas menghasilkan telefon bimbit ekslusif yang unik dan tidak lapuk ditelan zaman. Walaupun spesifikasi yang ditonjolkan tidak secanggih Apple i-phone namun ciri-ciri sampingan seperti rekabentuk dan stiker jelas menjadikan ia bukan sekadar telefon bimbit. Ia adalah 'collectors item' dan satu legasi.       

Tuesday, July 20, 2010

Santai di Gundam Cafe

Siri animasi Gundam membawa kita ke alam futuristik fantasi tahun 0080 Universal Century. Kita dihidangkan dengan imaginasi cara hidup manusia di koloni angkasa lepas atau diatas kapal induk. Kecanggihan teknologi,  uniform beragam, gadget dan segala hiasan dalam animasi tersebut kini boleh dirasai sendiri dengan berkunjung ke Kafe Gundam.

Kafe yang dilancarkan pada 24 April 2010 oleh Bandai Ltd Co dibuka kepada orang ramai khususnya peminat animasi Gundam. Daripada struktur binaan, hiasan perabot sehinggalah peralatan makanan semuanya bertemakan kehidupan di koloni angkasa lepas Earth Federation. Menu makanan ala barat yang disajikan pula berdasarkan watak antagonis dan protagonis Gundam umpamanya Amuro Rey pilot launch set,. Lebih menarik lagi pelayan kaunter dan pekerja kafe juga mengenakan uniform rasmi Gundam.


Sambil menikmati juadah anda boleh menonton siri animasi Gundam yang ditayangkan menerusi skrin besar dipelbagai sudut kafe Secara alternatif anda boleh juga mencuci mata dengan memerhatikan model Gunpla yang dihiasi pada dinding kafe. Ringkasnya jika anda ingin merasai kelainan 'meng-teh' dengan bersantai seumpama anggota Earth Federation, sila berkunjung ke Gundam Cafe di Akhibara, Tokyo.  



JOM Meng-TEH di Gundam Cafe!




Monday, July 19, 2010

Gundam Alpha: Man United

Awanz terfikirkan apa akan berlaku apabila Gundam dicantumkan dengan kelab bola sepak adakah sesuatu yang ajaib akan berlaku? Apakah Gundam yang normal akan menjadi luarbiasa sekiranya unsur universal terhebat dimuka bumi ini diasimilasikan bersama-sama dengannya? Sebagai ekperimen pertama Awanz dengan ini secara rasmi memaklumkan percantuman Manchester United dengan Gundam.
 
Pemilihan Manchester United sebagai projek pertama untuk dicantumkan dengan Gundam adalah bagi mendapatkan aura positif daripada kelab terhebat Liga Perdana Inggeris. Manchester United telah memenangi kejuaraan liga sebanyak 11 kali. Legasi gemilang kelab ini bermula  pada 1993 apabila ia dikendalikan oleh Sir Alex Ferguson yang memperkenalkan pemain hebat seperti Cantona, Ince, Giggs, Ronaldo dan Rooney. Pencapaian terhebat adalah pada kempen 1999 apabila mereka memperolehi 3 kejuaraan utama.
 
Projek Gundam ini akan memaparkan jersi terbaru Manchester United musim 2010-2011. Jersi terbaru Manchester United agak ringkas namun menarik kerana ia mempunyai kolar leher.   
 
   
Model Gundam yang terpilih untuk dieksploitasi didalam projek Awanz adalah dari siri Gundam OO iaitu Gundam GN 000. Gundam GN 000 adalah bapa kepada kesemua model Celestial Being.  Rupanya mirip RX78-2 kecuali badannya diubahsuai dengan GN Drive. 
 
Gundam Manchester United: Projek Alpha! Bermula.
   

Wednesday, July 14, 2010

Skala 1:12 Gundam Fantasi Anda

Pernahkah anda bermimpi berjalan seiring dengan Gundam? Beriadah di taman sambil ditemani Gundam?  Meminta Gundam supaya menjaga rumah anda? Atau berjalan keluar daripada bank dengan dikawal oleh Gundam sebagai 'body guard'?. Lebih gempak lagi apabila tetamu rumah anda disambut oleh Gundam di pintu masuk rumah anda!
 

Kini anda tidak perlu berfantasi lagi kerana Bandai telah mengeluarkan Gundam berskala saiz manusia. sebenar. Skala 1:12 ini hanya dikeluarkan untuk 2 model sahaja iaitu RX-78 2 dan Char Zaku Commander Type. Gundam setinggi lebih kurang 5 kaki (1.5 meter) ini dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu kepala, badan dan kaki. Gundam ini tidak fleksible dan hanya boleh diubahsuai pada bahagian tangan sahaja. Model ini mudah dipasang tanpa sebarang keperluan untuk mengecat. Ia memang tersedia cantik untuk terus dipertontonkan kepada umum.

Gundam berskala 1:12 ditujukan kepada penganjur pesta, konvensyen dan pemilik kedai hobi. Namun sekiranya anda benar-benar seorang yang fanatik dan berkemampuan tiada siapa dapat menghalang anda memiliki skala Gundam yang agung ini. Pada sambutan Hari Raya nanti anda pasti berbangga apabila mendapati semua tetamu terlopong memerhatikan RX-78 2 di ruang tamu rumah anda.

Tuesday, July 13, 2010

Gundam TORO: Juara World Cup 2010

Akhirnya setelah berhempas pulas bertarung diantara negara-negara selama lebih 1 bulan bagi merebut Piala Dunia 2010, pada 12.7.2010 dengan rasmi SEPANYOL dinobatkan sebagai juara. Gundam Toro yang mewakili Sepanyol dalam siri animasi Mobile Fighter G Gundam, kini boleh berbangga kerana berjaya menewaskan negara lain. Imej seladang ganas yang membentuk identiti Gundam Toro berjaya menanduk dan menepis setiap halangan yang cuba menafikan kejuarannya. 
 
 
Kejayaan Sepanyol sangat unik kerana ia juga merupakan penyandang juara Kejohanan EURO 2008. Sepanyol yang mengadaptasi gaya samba dan 'total footbal' jelas merupakan pasukan pilihan dan memiliki corak permainan yang paling memukau. Kejayaan menumpaskan German pada separuh akhir dan seterusnya mengalahkan Holland pada perlawanan akhir membuktikan kehebatan Sepanyol. Barisan penyerang  seperti David Villa dan Pedro (Torres malangnya tidak menyinar) , perancang seperti Fabregas, Xavi, Iniesta dan pertahanan kental diketuai Puyol dan Cassilas, maka jelas pasukan La Roja ini tidak mampu ditewaskan oleh pasukan lain. Sepanyol juga dinobatkan sebagai pasukan paling baik (fair play) kerana paling sedikat menerima kad kuning.



Sebenarnya jika diteliti kemenangan Sepanyol dibantu oleh kekuatan kelab Barcelona dan Real Madrid. Dengan kehadiran 7 pemain Barcelona dan 4 pemain Real Madrid mewakili Sepanyol, tidak salah jika disimpulkan bahawa 2 kelab ini telah berjaya mengalahkan seluruh negara didunia.  Sekali lagi VIVA VIVA Gundam Toro! Sebelum terlupa; Tahniah kepada Paul Si Sotong "Ramalan mu benar belaka"...

Sunday, July 11, 2010

Piala Dunia versi Gundam

Bahang perlawanan akhir Piala Dunia 2010 antara Sepanyol menentang Belanda bagai buku bertemu ruas. Pertarungan 2 negara sebenarnya adalah sesuatu yang asing dalam animasi Gundam. Animasi Gundam cenderung mewujudkan konflik pertembungan antara puak/ negara rekaan seperti Earth Faderation, ZAFT, Innovator dan lain-lain. Hal ini mungkin bagi mengelakkan kontroversi timbul. Satu-satunya animasi Gundam yang mengetengahkan idea pertarungan antara negara adalah Mobile Fighter G Gundam. 

G Gundam mengisahkan perpindahan penduduk dunia ke koloni angkasa setelah bumi tercemar teruk pada tahun 60 F.C. Penduduk dunia tinggal di koloni negara masing-masing. Bagi menentukan pemimpin kesemua koloni, dunia bersetuju agar pertarungan antara Gundam negara masing-masing diadakan. Kini bumi yang telah tercemar dijadikan sebagai gelanggang pertarungan.

Idea G Gundam dengan Piala Dunia hampir sama. Gundam 1 negara melawan negara yang lain. Pertarungan saringan diadakan selama 11 bulan sehinggalah perlawanan peringkat kumpulan (League Final) diadakan antara Gundam yang masih bertahan. Seterusnya 10 Gundam terbaik akan mengharungi peringkat kalah mati (Battle Royal). Akhirnya juara Gundam akan ditabalkan sebagai 'Gundam of Gundams' dan negara yang diwakilinya akan menjadi ketua koloni.

Ciri menarik G Gundam adalah pada rekabentuk Gundam yang menonjolkan identiti negara seumpama pemakaian jersi. Undang-undang pertarungan juga seakan perlawanan bola kerana Gundam dilarang menghina maruah negara lawan. Gundam dilarang menyerang bahagian sensitif robot iaitu kokpit pemandu. Gundam yang cedera pula boleh dirawat dan penduduk koloni boleh mendapat liputan pertarungan di televisyen secara langsung. 

Sekiranya Piala Dunia adalah medan pertarungan G Gundam, berikut adalah pencapaian Gundam pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan:-
Shining Gundam (Jepun): Wakil asia yang membanggakan. Kecil cili api. Honda membuktikan wibawa selaku penyerang berbisa mengalahkan pasukan eropah. Berjaya melepasi peringkat kumpulan dan hanya kalah pada Paraguay menerusi penalti.
Gundam Rose (Perancis): Konflik dalaman antara pemain dengan jurulatih. Tidak melepasi peringkat kumpulan dan kalah pasukan kerdil.
  
Gundam Jester (Portugal): Samba  eropah. Walaupun menang besar kepada Korea Utara, Cristiano Ronaldo gagal memancu pasukan melepasi suku akhir.
 
Gundam Neros (Itali): Juara Dunia bertahan yang gigit jari kerana mengekalkan pemain tua. Canavaro gagal memacu pasukan melepasi peringkat kumpulan. Serangan sangat tumpul dan tewas memalukan kepada Slovakia.


Gundam Royal (England): Pasukan 'glamour' yang ego. Hilang kapten apabila Ferdinand cedera sebelum pertandingan. Pemain bertindak secara individu dan mempamerkan corak permainan membosankan. Capelo  tiada penjelasan prestasi buruk. Kalah teruk kepada Jerman.
Gundam Shadow (Jerman): Pakar taktik serangan balas. Muda dan bertenaga walaupun tanpa nama besar. Klose penjaring terbanyak .  Ozil menempa nama. Podolski mengancam dan menang besar keatas England dan Argentina. Pasukan terhebat! Pemenang tempat ke-3.

Gundam Toro (Sepanyol) vs Gundam Huricane (Holland). Tidak pernah memenangi Piala Dunia. Dibarisi pemain muda ternama. Pertarungan peribadi Villa melawan Sneijder bagi Kasut Emas. 7 pemain Barcelona dalam Sepanyol manakala gandingan Robben & Sneijder sangat praktikal.  

Juara Piala Dunia 2010 yang diramalkan oleh Paul si Sotong adalah Sepanyol. Dapatkan Holland menewaskan ramalan Paul. Awanz cuma ingin melaungkan 'Hidup Orange!'

Saturday, July 10, 2010

Gundam Warisan di Godam!

Tanggal 9.7.2010 malapetaka melanda silih berganti. Seluruh isi kandungan blog hilang dalam sekelip mata akibat anasir jahat yang tidak senang melihat semangat setiakawan antara peminat Gundam dan Gunpla. Hati rasa remuk dan marah apabila hasil yang masih hijau dan mula bercambah tiba-tiba lenyap begitu sahaja. 

Namun yang patah tumbuh yang hilang berganti. Selagi ada kemahuan disitu ada jalan. Malapetaka yang menimpa akan dijadikan iktibar untuk Awanz mempelajari dan meningkatkan pengtahuan berkenaan selok belok blogger dan i.t. Halangan kecil ini sebenarnya sangat mudah untuk diharungi. Hasilnya seekor phoenix Gundam bangkit daripada runtuhan bangunan dijilat api.

Kini Awanz memperkenalkan versi trans-am satu-satunya blog hobi Gundam dan Gunpla berbahasa Melayu iaitu 'Warisan Gundam' http://warisangundam.blogspot.com/. Dengan corak dan isi kandungan yang diperkemas semoga minat dan hobi kreatif ini dapat dikembangkan dengan lebih pesat dan seterusnya dapat diwarisi zaman berzaman. Para pencinta Gundam dan Gunpla tempatan semua, bangkit, bersedia dan  TERUS MAJU. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. 

"Saya adalah Gundam Meister. Pantang berundur" 
Related Posts with Thumbnails